Website counter

Wednesday, October 6, 2010

Unit Runding Niaga Ditubuh

Oleh Mahaizura Abd Malik
am@hmetro.com.my
2010/10/01

JOHOR BAHRU: Jabatan Pertanian Negeri (JPN) Johor akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) untuk menubuhkan Unit Perunding Perniagaan bagi menampung masalah khusus berkaitan usahawan asas tani termasuk memberi bimbingan bagi meningkatkan perniagaan golongan itu.
Menerusi unit berkenaan yang akan diselaraskan oleh perunding swasta dilantik dua jabatan itu, ia dijangka dapat membantu usahawan asas tani menjalankan perniagaan mereka mengikut saluran dan prosedur betul.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Datuk Ab Aziz Kaprawi, berkata kebanyakan usahawan gagal meneruskan perniagaan mereka berikutan kekangan bekalan bahan mentah serta kekurangan modal selain tidak mempunyai kemahiran khusus apabila berdepan sebarang situasi mahupun masalah.

“Dalam satu temubual saya bersama beberapa usahawan, mereka mengatakan tidak tahu bagaimana caranya apabila berdepan dengan situasi genting yang berlaku dalam perniagaan hingga ada yang terpaksa menyerah kalah di separuh jalan.

“Justeru dengan adanya unit ini kelak, saya berharap masalah membabitkan pengembangan perniagaan dapat diselesaikan mengikut saluran yang betul selain membantu meningkatkan cara pengurusan mereka,” katanya selepas merasmikan Bengkel Amalan Pengilangan Baik (GMP) di MPC Wilayah Selatan di sini, baru-baru ini.

Bengkel tiga hari membabitkan 16 pengusaha asas tani dari pelbagai daerah di seluruh Johor itu turut dihadiri Pengarah Pertanian Negeri Johor, Adnan Mat Kasim dan Timbalan Pengarah Pusat Perkhidmatan Teknikal Mardi, Serdang, Selangor, Faridah Mohd Soom.

Menurut Ab Aziz, bengkel berkenaan adalah inisiatif JPN bersama Kerajaan Negeri bagi meningkatkan kemampuan pengusaha asas tani untuk menerokai pasaran antarabangsa disasarkan dengan kebanyakannya di China, Timur Tengah serta Eropah.

“GMP yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Malaysia adalah sijil khas selain keperluan penting dalam perniagaan asas tani yang disyaratkan buat pengusaha berkenaan bagi membolehkan mereka menembusi pasaran antarabangsa.

“Tanpa GMP, produk asas tani mereka tidak mampu diterima pasaran global kerana sijil berkenaan melambangkan jaminan mutu kepada produk yang berkualiti,” katanya.

No comments:

Post a Comment