Berita Harian 2010/08/25
KUALA LUMPUR: 13 kes keracunan makanan dilapor sejak Ramadan bermula berpunca daripada makanan yang basi atau rosak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata antara sumber yang menyebabkan keracunan ialah makanan yang disediakan di dapur sekolah, kolej, Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan pasar Ramadan.
"Satu kes membabitkan makanan yang disediakan di dapur sekolah, tiga kes di kemudahan institusi seperti PLKN dan kolej manakala tujuh kes membabitkan makanan yang dibeli di pasar Ramadan.
"Selebihnya berpunca daripada sumber lain seperti makanan yang dimasak sendiri untuk majlis berbuka puasa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara faktor yang menyebabkan makanan tercemar ialah penyediaan makanan terlalu awal, cara penyimpanan yang tidak sesuai dan tidak dimasak dengan sempurna.
"Pihak kami merasa kecewa dengan sikap pengendali makanan yang masih menghidang atau menjual makanan basi tanpa mengambil kira kesan terhadap kesihatan pelanggan mereka," katanya.
Sehubungan itu, Dr Mohd Ismail menasihatkan pengendali makanan supaya memastikan bahan mentah makanan yang diguna adalah segar dan selamat serta disimpan pada suhu di bawah empat darjah Celcius.
Makanan yang dimasak perlu disimpan pada suhu melebihi 60 darjah Celcius dan dihidang dalam tempoh tidak melebihi empat jam selain disediakan menggunakan peralatan yang bersih, tempat yang bersih dan bekalan air yang selamat, katanya.
Beliau juga meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak memakan makanan yang telah berubah bau dan rasa serta keadaan fizikal dan sentiasa memilih makanan yang baru dimasak serta premis yang bersih.
"Pengusaha makanan pula perlu memastikan pengendali makanan menjalani latihan pengendali makanan dan mempunyai sijil latihan, memastikan semua pengendali makanan sentiasa dalam keadaan bersih dan sihat serta memastikan makanan yang disediakan sentiasa dipanaskan dan selamat untuk dimakan," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment